BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, October 17, 2010

PONTENG SEKOLAH

Ponteng adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di sekolah  secara sengaja tanpa alasan yang munasabah. Menurut Kamus Dewan,ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Istilah tersebut digunakan bagi kes ketidakhadiran yang berpunca daripada keinginan pelajar itu sendiri,dan bukannya kes-kes yang "dimaafkan"seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas,sama ada salah satu kelas,beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam  satu-satu hari.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya masalah ponteng sekolah. Pertamanya,suasana persekitaran sekolah yang berubah akibat proses urbanisasi seperti pembinaan arked permainan video,kafe siber atau pusat membeli-belah berhampiran dengan sekolah. Hiburan-hibur an tersebut akan menyebabkan pelajar tidak dapat menumpukan perhatian mereka terhadap pelajaran. Seterusnya,pelajar akan menghabiskan kebanyakan masa mereka dalam hiburan-hiburan tersebut. Kadang-kala pelajar akan ponteng sekolah untuk pergi pusat hiburan tersebut.

Faktor yang kedua ialah pengaruh media elektronik. Media elektronik memberikan impak yang besar terhadap remaja. Remaja mudah dipengaruhi oleh watak watak yang  berlakon dalam sesebuah drama atau filem. Remaja suka meniru aksi-aksi sesuatu watak tanpa memikirkan perlakuan seseorang watak tersebut adalah  betul atau salah. Sebagai contoh,sesuatu watak yang membawa perwatakan suka ponteng sekolah dalam dramanya mungkin akan ditiru oleh remaja.

Manakala,faktor yang ketiga ialah kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa. Apabila ibu bapa tidak memberikan kasih sayang dan perhatian yang sepenuhnya terhadap anak mereka, anak mereka akan melakukan sesuatu yang tidak baik seperti ponteng sekolah untuk menarik perhatian ibu bapa. Keempatnya,faktor pengaruh daripada rakan sebaya. Remaja suka mengikut tingkah laku rakan sebaya mereka. Jika bergaul dengan rakan sebaya yang tidak baik,remaja akan dipengaruhi oleh mereka dan akan melakukan sesuatu perbuatan yang tidak baik seperti ponteng sekolah.

Faktor yang kelima pula ialah persekitaran sekolah yang kurang kondusif serta dibebani tekanan,umpamanya guru yang terlalu garang. Pelajar mungkin akan ponteng sekolah kerana mereka berasa terlalu takut dan tidak tahu cara-cara untuk menghadapi keadaan sebegitu. Keenamnya,sikap pelajar sendiri. Sikap pelajar yang tidak suka belajar dan asyik suka mencari hiburan juga akan menyebabkan mereka melakukan perbuatan ponteng sekolah.

Masalah ponteng sekolah telah membawa kepada pelbagai kesan yang negatif antaranya ialah menjejaskan sistem pendidikan negara dan masa depan generasi muda. Sistem pendidikan negara akan menjadi terjejas tanpa pelajar yang berdisiplin dan masa depan pelajar akan hancur dalam tangan mereka disebabkan oleh masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Selain itu,keruntuhan moral generasi muda juga akan berlaku. Pelajar akan kurang mementingkan nilai-nilai moral dan sifat-sifat seperti kerajinan dan bertanggungjawab. Mereka akan ketinggalan dalam pelajaran dan paling dikhuatiri terbabit dengan kegiatan negatif seperti merokok dan perjudian. Sebagai tambahan,mereka juga akan mempunyai amalan kehidupan yang negatif seperti budaya lepak dan berfoya-foya.

Oleh itu,beberapa langkah perlu diambil bagi mengatasi masalah ini antaranya ialah yang pertama,ibu bapa haruslah membekalkan anak mereka dengan pendidikan agama dan moral. Selain itu,mereka perlu mengawasi kelakuan anak-anak mereka secara berterusan dari semasa ke semasa. Kasih sayang dan perhatian yang mencukupi haruslah diberikan oleh ibu bapa kepada anak. Ibu bapa juga hendaklah menjadi contoh ikutan kepada anak mereka. Keduanya,peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG). Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa atau penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif. 

Ketiganya,peranan pihak sekolah. Pihak sekolah hendaklah mewujudkan sistem perundangan yang baik di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar sekolah. Ini dapat mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin. Selain itu,perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer,video,bantuan alat pandang dengar boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk menarik perhatian pelajar dan memupuk minat pelajar untuk belajar. Keempatnya,peranan pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak pelajar ini kepada pihak polis.

Secara kesimpulannya,ponteng sekolah merupakan satu masalah yang agak serius dalam kalangan pelajar. Pelbagai pihak haruslah  bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini supaya generasi muda yang berpengetahuan dan bermoral boleh dibentuk di negara kita. Dengan adanya generasi muda yang berpengetahuan dan bermoral,barulah matlamat negara kita untuk menjadi sebuah negara yang maju dapat dicapai.


DISEDIAKAN OLEH :
THREW  HUI  YI
206014

0 comments: