BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, October 18, 2010

PENAGIHAN DADAH


Kebelakangan ini,kita sering terdengar di corong-corong radio berita mengenai peningkatan golongan penagih dadah di dalam negara kita terutamanya dalam kalangan remaja. Keadaan ini amat membimbangkan semua pihak. Oleh itu,langkah yang sewajarnya haruslah diambil bagi membendung masalah ini iaitu dengan memberikan penerangan yang jelas tentang apakah itu dadah.

Dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi fizikal,mental dan emosi serta tingkah laku pengguna apabila menggunakannya. Dadah juga merujuk kepada sejenis bahan kimia psikoaktif yang mempunyai beberapa ciri seperti mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf otak dan tunjang,diperoleh secara haram dan mendatangkan kesan- kesan buruk dan bahaya ke atas kesihatan seseorang manusia.   
Tanoa kita sedari,kita sendiri mungkin telah menggunakan beberapa jenis dadah dalam hidup kita. Sebagai contohnya,di dalam ubat-ubatan seperti "paracetemol" dan "antibiotic" yang kita gunakan bagi menyembuhkan demam. Selain otu,teh dan kopi juga mengandungi sejenis dadah ransangan yang dikenali sebagai "caffeine". Akan tetapi,dadah ransangan jenis seperti ini tidak akan mengakibatkan ketagihan yang bermasalah kepada individu masyarakat dan negara. Oleh itu,penggunaan bahan minuman dan makanan ini tidak salah di sisi undang-undang.

Namun demikian,beberapa jenis dadah adalah dadah yang dilarang pengambilannya kerana dadah ini mengakibatkan ketagihan dan masalah-masalah seperti kesihatan,sosial,ekonomi dan sebagainya. Oleh itu,kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk mengharamkan penanaman,pengeluaran, pengedaran,pemilikan dan penyalahgunaan dadah seperti kokain,ganja,heroin,syabu dan ecstasy. Dadah boleh dibahagikan kepada beberapa jenis antaranya ialah opiat,stimulan,ganja, halusinogen dan depresan.

Gejala penagihan dadah ini boleh dilihat daripada beberapa tanda antaranya ialah permukaan mata berkaca,cengkung dan mata berair, hilang selera makan,mengasingkan diri daripada rakan-rakan,hidung berair,parut atau suntikan di lengan dan suka marah-marah atau meradang.

Manakala,faktor-faktor yang mendorong individu untuk menyalahgunakan dadah,antaranya ialah keseronokan untuk mencuba dan merasai. Pada kebiasaannya,golongan remaja suka mencari keseronokan dengan mencuba sesuatu aktiviti yang baru dan mereka telah memilih untuk mencuba dadah. Keadaan ini juga didorong oleh perasaan ingin merasai bagaimana rasanya dadah tersebut.
   
Selain itu,faktor pengaruh rakan sebaya. Sebagai contoh,pelajar sekolah kebiasaannya mempunyai ramai rakan sebaya namun mereka telah memilih rakan sebaya yang negatif. Rakan sebaya yang negatif ini telah mempengaruhi mereka untuk mencuba dadah.  Akhirnya,mereka terus terjebak ke dalam kencah penagihan dadah.

Di samping itu,faktor merokok. Menurut kajian yang dijalankan,kebanyakan penagih dadah bermula daripada merokok. Hal ini demikian kerana apabila mula merokok,seseorang individu itu akan pula mencuba untuk mencari sesuatu benda yang boleh membuatkan mereka merasa lebih khayal dan mereka telah memilih dadah sebagai jawapannya.

Kesan penagihan dadah boleh dilihat daripada empat sudut iaitu kesan kepada penagih,kesan kepada masyarakat dan kesan kepada negara. Kesan kepada penagih yang pertama ialah tidak bertanggungjawab terhadap kerja yang dilakukan. Selain itu,dari segi fizikal,penagih akan menjadi kurus,lemah tenaga,malas dan kelihatan seperti dalam khayalan. Di samping itu,bagi penagih dadah,daya tahan penyakitnya akan menjadi lemah dan mudah dijangkiti penyakit seperti kancing gigi,hepatits,tibi dan HIV.

Manakala,kesan kepada keluarga yang pertama ialah menjatuhkan maruah dan nama baik keluarga. Selain itu,rumah tangga yang dibina juga akan menjadi porak-peranda. Di samping itu, membebankan keluarga penagih kerana perlu menghabiskan masa,tenaga dan wang yang banyak untuk merawatnya.

Selain itu,kesan kepada masyarakat yang pertama ialah persengketaan dan perselisihan faham antara masyarakat akan berlaku akibat penglibatan anggota masyarakat dengan dadah. Manakala,kesan yang kedua ialah mengancam ketenteraman awam dengan kejadian jenayah seperti rompakan dan pembunuhan.
   
Di samping itu,kesan kepada negara. Kesan kepada negara yang paling utama ialah kerajaan perlu menanggung kos yang tinggi untuk menyediakan khidmat rawatan dan pemulihan penagih dadah. Kesan yang seterusnya ialah kehilangan sumber tenaga kerja pada masa hadapan.

Gejala penagihan dadah ini semakin meningkat. Oleh itu,terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah penagihan dadah di negara kita,antaranya ialah melalui penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa. Akta-akta yang berkaitan dengan dadah yang telah sedia ada perlulah diperketatkan lagi dengan mengenakan tindakan dan hukuman yang lebih tegas kepada individu yang telah menyalahgunakan dadah.

Selain itu,pihak kerajaan perlulah mengadakan kempen pendidikan di sekolah-sekolah. Kempen ini perlu dilaksanakan bagi menerangkan maklumat yang berkaitan dengan dadah kepada para pelajar. Hal ini demikian kerana langkah pencegahan dadah perlulah dilakukan bermula daripada pelajar sekolah lagi. Bak kata pepatah"melentur buluh biarlah daripada rebungnya" .

Di samping itu,pihak kerajaan juga perlulah mengadakan kerjasama antarabangsa dengan negara-negara anggota ASEAN dalam usaha untuk memerangi dadah. Hal ini kerana apabila kerjasama dilakukan,maka akan berlaku sekatan kemasukan dadah ke dalam negara kita.

Kesimpulannya,usaha memerangi penyalahgunaan dadah perlu dilaksanakan oleh semua masyarakat di negara ini. Hal ini kerana tanpa kerjasama dari semua masyarakat masalah ini tidak akan dapat dibendung. Selain itu,usaha pemulihan yang dilakukan terhadap penagih dadah juga hendaklah diteruskan sepanjang masa. Oleh itu,semua pihak perlu berganding bahu seperti bak kata pepatah "bulat air kerana pembetung,bulat manusia kerana muafakat. "    
              
 DISEDIAKAN OLEH;  
 NOOR  SUZIANIE  BINTI  ABD  RAHMAN
 205783                                                                                             

0 comments: