BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, October 13, 2010

PENDERAAN KANAK-KANAK

 Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan kanak-kanak boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal,mental dan seksual. Secara ringkasnya,penderaan kanak-kanak boleh ditakrifkan sebagai mencederakan tubuh kanak-kanak, memperkosa,memaksa kanak-kanak di bawah umur bekerja,membenarkan mereka mengemis dan mendedahkan kanak-kanak kepada perkara-perkara yang membahayakan moral. Pendera juga tidak terhad kepada ibu bapa malah penjaga,pembantu rumah,saudara-mara,jiran atau guru juga boleh disabitkan dengan penderaan.
Pada 20 Ogos 2007, terdapat berita yang melaporkan tentang kehilangan kanak-kanak keletah,Nurin Jazlin Jazimin,8 tahun setelah pergi  berseorangan ke pasar malam yang berhampiran rumahnya. Pada 20 September 2007,iaitu 30 hari selepas kehilangannya. Mayat kanak-kanak perempuan telah ditemui di dalam beg pakaian oleh seorang pekerja sebuah kedai di jalan PJS1/48,Petaling Utama dan identiti  mangsa telah disahkan sebagai Nurin. Malangnya,pendera yang melakukan kekejaman ini masih tidak dapat ditangkap dan diketahui sehingga kini. Mengapa penderaan kanak-kanak ini sering berlaku? Apa faktor-faktor yang menyebabkan hal ini berlaku? Menurut kajian yang dibuat,terdapat banyak faktor yang mempengaruhi masalah penderaan kanak-kanak. Antara faktornya ialah umur pendera,kajian di Barat menunjukkan bahawa lebih 62 peratusan pendera adalah berumur 38 tahun ke bawah dan ini telah melebihi lima ganda berbanding dengan pendera yang berumur 31 tahun hingga 50 tahun. Hal ini mungkin kerana generasi muda kini mudah melakukan kekerasan,pendedahan kepada perselisihan faham ketika perkhawinan di usia muda memungkinkan ibu bapa yang muda yang mempunyai anak kecil akan berisiko dalam kes penderaan.
Selain itu,faktor yang mendorong kes penderaan ialah taraf perkhawinan pendera. Penderaan lebih kerap berlaku ketika ibu bapa mangsa dalam proses penceraian. Hal ini demikian kerana ibu bapa ingin mencari tempat untuk meluahkan perasaan marah,kecewa dan membalas dendam. Di samping itu,taraf pendidikan pendera juga merupakan faktor yang menyebabkan kes penderaan berlaku. Apabila ibu bapa mangsa terdiri daripada golongan berpendidikan rendah,mereka akan sukar untuk mendapat pekerjaan yang baik berbanding dengan taraf pendidikan yang tinggi. Keadaan ini akan menyukarkan mereka untuk memiliki keperluan yang lengkap dna kesannya mereka akan berasa tertekan dan akan melepaskan kemarahan ke atas anak-anak yang tidak berdosa.
Jenis rumah kediaman juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan masalah kejadian kes penderaan kanak-kanak. Jenis rumah kediaman seperti kawasan setinggan,kawasan perkampungan dan kawasan terpencil lebih kerap berlaku kes penderaan kanak-kanak berbanding dengan kawasan dengan kawasan bandar. Hal ini demikian kerana kawasan ini memudahkan pendera mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang keluar bersendirian tanpa diketahui oleh orang lain. Selain itu,kawasan yang jauh dari bandar seperti kawasan perhutanan akan memudahkan pendera untuk menyimpan rahsia dalam melakukan penderaan dan mangsa yang kurang mendapat pendidikan tidak akan mengetahui apa yang berlaku pada diri sendiri mereka.
Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya ialah mengadakan kempen "keluarga bahagia" bagi menyedarkan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak mereka. Tujuannya adalah untuk menyarankan ibu bapa supaya menghargai dan memberi kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka. Setiap orang akan mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segalanya bagi kita. Tanpa keluarga yang tercinta,hidup pasti tidak bermakna. Selain itu,ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mengelakkan kes penderaan kanak-kanak. Ibu bapa perlu menyokong dan mendengar perasaan kanak-kanak serta memahami tanpa sentuhan dan hubungan antara mereka. Apabila anak-anka telah meningkat dewasa,sentuhan yang melibatkan jantina perlu sesuai dengan pegangan agama dan budaya dalam masyarakat. Ibu bapa juga perlu memberitahu anak-anak mereka supaya jangan keterlaluan dan cara berpakaian,tidak menumpang kenderaan orang yang tidak dikenali,menerima minuman atau minuman daripada tin terbuka yang diberikan oleh orang lain,dan menerima wnag daripada orang lain tanpa sebab yang munasabah.
Tambahan pula,pihak kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam mencegah penderaan kanak-kanak dalam melaksanakan undang-undang. Pihak kerajaan harus mengenakan hukuman yang berat kepada pendera yang terlibat dalam kes penderaann seperti hukuman penjara dan hukuman mati. Di samping itu,menurut penguatkuasaan Akta Kanak-Kanak 2001,sekiranya ibu bapa yang didapati cuai hingga menyebabkan anak-anak mereka hilang atau diculik  dan melakukan perbuatan aniaya,abai,cuai,buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal,mental dan emosi boleh didakwa di mahkamah. Ketua Polis Selangor,Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu jika sabit kesalahan,mereka yang terlibat boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duannya sekali.
Kesimpulannya,penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini demikian kerana perbuatan sebegitu seolah-olha bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Anak-anak merupakan amanah Allah yang suci dan bersih. Oleh itu,menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya,tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi,sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

DISEDIAKAN OLEH :
LIANG JIANG SIN
206128

0 comments: